BUKAN HELAH BERMADAH

Bersama mentari pagi
Ku berlari mencari jati diri
Menegak kelimah bangsa dilandasan masa
Membina citra budaya rakyat bermaruah
Di bumi bertuah

Wahai teman dan taulan
Marilah kita mertabatkan ilmu dengan akal fikiran
Marilah kita mertabatkan amal dengan ilmu dan iman
Marilah kita mertabatkan takwa dengan amalan kebaikan
Kerana perjalanan yang mulia adalah ketakwaan.

Wahai teman sekelian
Kehidupan adalah jauh pelayarannya
Janganlah sampai hilang kemudimu dek badai yang menggila
Ketabahan dan kecekalan adalah senjata untuk mengharunginya

Sekali mengorak langkah di arus perdana
Jangan menoleh pada bebayang waktu yang berlalu
Tapi pandanglah kehadapan hamparan cabaran
Di situlah kehidupanmu, kebenaran bukan palsu,
Kenyataan jalan berliku bukan diolah sejarah bangsamu
Tapi itulah kehidupan keduniaan
Tak tahu bila dan di mana penyudahnya.

Perhitungan kita buat hari ini
Bukanlah sekadar kedudukan yang dicari
Bukanlah hanya kemewahan yang ada keindahan
Tetapi jika kita punya hati biarlah hati itu isinya ilmu yang berguna
Jika kita punya lidah biarlah madah kita berhemah dan bukan berhelah
Dan jika kita melangkah biarlah berhijrah berpindah
Di kehidupan berfaedah penuh hikmah.

Teruskan perjalananmu wahai teman dan taulan
Bersama kita menegak kebenaran, keadilan dan bersama meraih kejayaan
Semoga keceemerlangan dan kegemilangan digengaman
Terbilangnya kita sebagai rakyat Malaysia tercinta.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Quality perspective

MENGUTIP PELAJARAN DI LALUAN KEHIDUPAN

LANTERA HARAPAN